Menyedari betapa pentingnya ilmu, maka dengan muafakat yang bulat semua ibubapa dari empat buah rumah panjang di kawasan Sungai Ranan telah berjaya membina sebuah sekolah secara bergotong royong. Bangunan sekolah tersebut didirikan menggunakan kayu, berdindingkan papan, berlantaikan tanah dan beratapkan daun rumbia. Kerjasama yang erat ini telah mewujudkan sebuah sekolah yang dinamakan Lower Primary School Ulu Ranan, Kanowit.
Sekolah ini mula di buka pada tahun 1960. Pada masa itu guru besar pertamanya ialah Encik Buan Ak Senaun dengan bilangan murid hanya 34 orang sahaja. Mulai tahun 1963, Lower Primary School Ulu Ranan diambilalih oleh Authority Kanowit District Council. Pada mulanya hanya dua orang guru sahaja yang ditugaskan pada masa itu dan gaji mereka di bayar oleh Local Authority Kanowit Council. Segala kemudahan asas, urusan pentadbiran dan pengurusan sekolah diuruskan oleh Local Authority District Council Kanowit.
SK Ulu Ranan dinamakan sempena dengan kawasannya yang terletak di Ulu Sungai Ranan yang berkuala di Sungai Kanowit. Walau bagaimanapun setelah jalanraya siap di bina, sekolah ini dipindahkan ke tepi jalanraya KM 7, Jalan Kanowit-Durin. Persediaan tapak dan pembinaan bangunan sekolah mula di buat pada pertengahan tahun 1983 yang mempunyai keluasan sebanyak 4,128 hektar melalui Projek Bnak Dunia dan siap pada tahun berikutnya. Pada bulan April 1984, barulah sekolah yang baru di bina ini beroperasi secara sepenuhnya.
Dari tahun ke tahun, bilangan murid semakin bertambah dari 266 orang kepada 338 orang termasuklah juga jumlah murid Pra Sekolah. Keadaan ini mewujudkan satu situasi sesi pembelajaran yang tidak kondusif akibat bilik kelas terlalu sesak dengan bilangan murid terlalu ramai dalam satu kelas. Masalah kekurangan bilik kelas menjadi faktor keadaan ini berlaku.
Kini, bermulanya pada tahun 2012, SK Ulu Ranan telah berubah wajah kerana telah mempunyai tapak serta bangunan sekolah yang serba baru. Ini adalah sesuatu yang amat baik kerana semua staf, guru dan semua murid dapat mengadakan sesi pengajaran dan pembelajaran dengan selesa.
No comments:
Post a Comment